Monday, February 23, 2009

Guan Eng mengaku gagal tangani kemiskinan tegar

Pakatan Rakyat Pulau Pinang beri alasan sukar buka akaun amanah




BUTTERWORTH: Kurang sebulan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang meraikan ulang tahun pertamanya, Ketua Menteri, Lim Guan Eng terpaksa mengakui gagal menunaikan janji menghapuskan miskin tegar di negeri ini.

Selepas mengambil alih Pulau Pinang pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, kerajaan negeri sering meuar-uarkan mampu membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh setahun.


Bagaimanapun, hanya tinggal kurang tiga minggu lagi, Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri gagal menunaikan janji berikutan masalah kesukaran membuka akaun amanah.

Beliau tidak menjelaskan dengan lanjut masalah teknikal membuka akaun berkenaan, sebaliknya menyatakan terpaksa melalui prosedur yang panjang.

"Kita menghadapi kesukaran membuka akaun amanah. Akaun ini akan digunakan untuk memasukkan dana yang disumbangkan penderma supaya turut mendapat faedah," katanya selepas merasmikan klinik kesihatan percuma sempena kempen kesihatan di Padang Lucky Garden, di sini semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau tetap menaruh harapan kerajaan negeri mampu membasmi kemiskinan tegar pada hujung tahun ini jika akaun amanah berjaya dibuka Mac ini.

"Walaupun ada halangan melaksanakan hasrat dalam tempoh ditetapkan, usaha itu tidak akan terhenti, malah akan terus menjayakannya," katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri tetap akan mencari penyelesaian terhadap masalah sepanjang program membasmi kemiskinan tegar dan memastikan ia menjadi kenyataan.

"Kami tetap berusaha menjayakan hasrat menjadikan Pulau Pinang negeri pertama berjaya menghapuskan miskin tegar," katanya.

No comments:

Post a Comment