Saturday, February 28, 2009

PPIM bantah syor DAP


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar gesaan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng supaya kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa dalam urusan pentadbiran negara.

Pengarah Projeknya, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, alasan yang diberikan Ahli Parlimen itu mengenai berlakunya masalah pemahaman bahasa Melayu jelas tidak berasas.

Tegas beliau, pihak-pihak tertentu perlu mahir dan menguasai bahasa kebangsaan itu kerana mereka adalah rakyat negara ini.

"PPIM berharap tidak ada pihak cuba menimbulkan isu tidak rasional seperti ini.

"Rakyat Malaysia bebas mengamalkan dan mempelajari pelbagai bahasa, tetapi hak dan kedaulatan bahasa Melayu perlu dipertahankan serta tidak boleh dipertikaikan seperti dalam Perlembagaan Persekutuan," tegas beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

PPIM turut mengingatkan mereka yang mempunyai pendapat bersifat minoriti agar tidak mengganggu keseimbangan dan keharmonian dengan kenyataan berbentuk provokasi.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan DAP itu juga dikesali khususnya dalam usaha negara untuk mengukuhkan keharmonian antara kaum.


Apa yang dilakukan pemimpin DAP ini jelas sengaja menghasut dan menyentuh isu sensitif yang tidak harus ditimbulkan sama sekali

No comments:

Post a Comment