Monday, June 15, 2009

Anwar undang kemarahan rakyat - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 14 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu sedar tindakannya meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke negara ini bukan saja tidak disenangi malah mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, Anwar langsung tidak mengambil kira sensitiviti dan perasaan seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama apabila membuat kenyataan itu.

Menurutnya, rakyat yang telah mengorbankan jiwa raga dan nyawa berdepan dengan Chin Peng amat kecewa dengan apa disebut oleh Anwar itu, yang terlalu bertentangan dengan kehendak rakyat.

Malah, tambah beliau, Anwar lupa bahawa beliau sendiri tidak akan dapat bersuara dalam sistem demokrasi di negara ini jika kegiatan Chin Peng dan anasir komunisme gagal dilumpuhkan.

"Ia (isu ini) terus menerus diperkatakan. Jelas sekali ada pihak yang mahu memutar belit kedudukan sebenar dan mahu mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi serta politik yang sempit.

"Apa yang disebutkan Anwar amat dikesali kerana beliau seolah-olah mahu kita lupa sejarah, penderitaan dan pengorbanan para anggota keselamatan serta mereka yang telah terkorban," katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.

Semalam, Anwar dalam kenyataannya memberitahu, permintaannya itu perlu dibenarkan dengan alasan negara sudah berdamai dengan kerajaan China sendiri.

Menurut Hishammuddin, beliau percaya golongan perajurit, pesara polis malah warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera cukup marah dengan kenyataan terbaru Anwar itu.

Menurutnya, sejarah kewujudan dan gerakan PKM di negara ini adalah titik hitam yang telah membawa kesengsaraan kepada semua kaum dan golongan.

"PKM yang pernah cuba membawa ideologi komunis ke negara ini telah bertindak di luar batasan sehingga sanggup mengetepikan nilai kemanusiaan dalam kegiatan mereka.

"Kesannya amat memilukan dan ramai di kalangan rakyat tanpa mengira kaum telah menjadi mangsa dan dibunuh dengan kejam," katanya.

Tegas Hishammuddin, PKM telah diharamkan kewujudannya dan ia tidak pernah diizinkan untuk dihidupkan semula, oleh itu dengan membuka ruang perbincangan untuk membenarkan Chin Peng pulang ke negara ini sama seperti mengagung-agungkan dan meletakkannya sebaris dengan pejuang kemerdekaan.

"Golongan terdahulu sedar bahawa Chin Peng dan kegiatan komunisme tidak membawa sebarang manfaat namun kita perlu mengingatkan generasi hari ini agar berhati-hati dengan sebarang dakyah atau penyebaran maklumat yang tidak benar.

"Tindakan menyamakan komunisme di negara ini dengan komunisme yang pernah wujud di China adalah satu penyelewengan fakta. Komunisme atau PKM di negara ini tidak pernah diperakui dan ia bergerak secara haram dengan menjadikan hutan sebagai pusat operasi," katanya.

No comments:

Post a Comment